Revolusi E-Commerce dalam Industri Kecantikan dan Impaknya Terhadap Industri

E-Commerce dalam Industri Kecantikan

Kandungan

E-commerce atau e-dagang mungkin perkataan yang asing bagi sesetengah orang. Namun, jika disebut perniagaan secara online, pasti ramai tersenyum panjang. Ah, ni biasalah dengar! E-commerce macam komersial pula bunyinya kan? Macam perniagaan import eksport pula. Sebenarnya, maksudnya sama sahaja iaitu perniagaan yang dijalankan secara dalam talian (online).

Sebelum itu, marilah kita fahami maksud e-commerce dengan lebih mendalam. E-commerce ialah proses jual beli secara elektronik melalui aplikasi mudah alih dan internet. Pembelian barangan dan perkhidmatan adalah melalui transaksi elektronik. Contoh paling mudah platform yang mengamalkan e-commerce ialah Shopee, Lazada, Zalora, TikTok Shop, Instagram, Go Shop dan banyak lagi.

Yang paling banyak memborong di platform-platform tersebut pastinya kaum wanita, namun kaum lelaki pun tak kurang hebatnya. Jadi dalam artikel ni, penulis akan kongsikan tentang kehadiran e-commerce dalam bidang kecantikan. Malahan, manfaat kewujudan perniagaan secara online ini juga akan dibincangkan.

 

E-Commerce dalam Industri Kecantikan

Suatu masa dahulu, para wanita gemar membeli produk kecantikan di kedai fizikal seperti di kedai runcit biasa, Watson, Guardian, kaunter di pusat membeli-belah dan sebagainya. Ada juga yang membelinya melalui katalog (dan juga di kedai agen) seperti Avon, Amway, Cosway dan banyak lagi.

Walaupun kedai-kedai fizikal tersebut masih lagi wujud, namun dek perubahan masa, kita sudah mula beralih arah. Apa yang anda perlukan ialah sebuah telefon pintar, talian internet dan aplikasi mana-mana platform yang digemari. Dengan satu klik, anda boleh membeli barangan kecantikan tanpa perlu memandu kereta ke kedai. Tak perlu bersesak-sesak untuk memborong barang yang diingini ketika jualan murah. Tak perlu beratur panjang jika nak bayar. Amat mudah bukan?

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, e-commerce telah meningkat dengan begitu mendadak hingga memberi impak kepada kedai fizikal. Kini, ramai peniaga yang menjual produk kecantikan secara e-commerce. Mereka boleh berniaga 24 jam pada bila-bila masa sahaja, tak kira bagi pasaran dalam Malaysia atau di luar negara. Tanpa mengeluarkan kos overhead yang tinggi, keuntungan yang diperoleh amat tinggi.

Itulah sebabnya ramai usahawan produk kecantikan di Malaysia kini mencapai taraf jutawan. Selain mempunyai kedai, mereka tetap menumpukan perniagaan utama melalui e-commerce. Para pembeli juga mempunyai banyak pilihan produk kecantikan berbanding pada masa dulu kerana industri kecantikan semakin banyak bercambah.

Misalnya, ramai wanita Malaysia yang menginginkan kulit yang cantik umpama kaca (glass skin) seperti orang Korea. Jika dulu, produk-produk luar yang diimport ke negara kita agak mahal harganya. Kini, anda boleh terus membelinya melalui platform e-commerce dalam negara kita atau juga secara langsung dari Korea. Anda hanya perlu membayar harga produk kecantikan tersebut dan kos pengeposan. Ada juga sesetengah aplikasi yang memberi potongan harga atau penghantaran percuma pada tarikh-tarikh tertentu.

Malahan, ada juga sesetengah produk kecantikan yang sukar didapati di Malaysia tetapi anda boleh membelinya secara e-commerce. Kadangkala, jenama-jenama terkenal yang mahal harganya boleh dibeli dengan murah melalui online. Itulah sebabnya kini ramai wanita yang lebih suka membeli barang secara e-commerce. Jimat wang, masa dan tenaga.

 

Manfaat E-Commerce dalam Industri Kecantikan

Penggunaan e-commerce memberi manfaat dua hala kepada para penjual dan juga pembeli. Antaranya ialah:

  1. Menjimatkan wang, masa dan tenaga
  2. Pasaran luas
  3. Strategi pemasaran
  4. Akses data

 

Menjimatkan wang, masa dan tenaga

Manfaat utama dengan memiliki e-commerce ialah ia dapat menjimatkan wang, masa dan tenaga penjual dan pembeli. Penjual tidak perlu menyewa atau membeli kedai fizikal. Tidak perlu sakit kepala memikirkan lokasi kedai tersebut strategik ataupun tak. Tak perlu bayar upah pekerja yang makin meningkat bayarannya mengikut pengalaman dan latar belakang pendidikan mereka.  Mereka juga tidak perlu risau memikirkan stok produk kecantikan yang dijual semakin menimbun.

Pembeli juga boleh mendapatkan produk kecantikan dengan harga yang jauh lebih murah berbanding di kedai. Mereka boleh membelinya di mana sahaja tanpa perlu ke kedai. Jika produk kecantikan tersebut telah habis, mereka boleh membeli di kedai online yang lain pula.

 

Pasaran luas

Dengan adanya jaringan internet, penjual boleh menjual produk kecantikan mereka bukan sahaja di kawasan sekitar daerah, tetapi juga di seluruh Malaysia. Malahan, anda juga boleh membuat e-commerce di negara-negara jiran seperti Singapura, Brunei, Thailand dan Indonesia.

Pembeli juga mendapat manfaat daripada e-commerce kerana mereka boleh mendapatkan barangan kecantikan secara langsung dari negara pengeluar. Harganya pasti jauh lebih murah dengan pilihan produk yang lebih banyak.

 

Strategi pemasaran

Melalui e-commerce juga penjual boleh menjual produk kecantikan dengan strategi pemasaran yang menarik. Misalnya membuat laman web yang lebih ceria, memberikan tips-tips kecantikan dan susun atur gambar yang lebih kreatif. Malahan, anda juga boleh menambat hati pembeli dengan memberikan sampel secara percuma jika menjadi ahli, potongan harga kepada ahli dan sebagainya.

Para pembeli juga akan setia membeli produk kecantikan di platform e-commerce anda kerana lebih menguntungkan, layanan yang baik dan potongan harga yang menarik. Pembeli juga akan tertarik untuk mencuba sampel-sampel yang diberikan dan jika berkesan, mereka pasti akan membelinya.

 

Akses data

Jika pembeli membeli produk kecantikan di platform e-commerce anda, penjual dapat mengakses data mereka. Apabila membeli sesuatu produk secara online, sudah menjadi kelaziman pembeli memberikan maklumat nama, alamat, nombor telefon atau e-mel. Dengan maklumat-maklumat ini, penjual boleh menghantar newsletter atau mesej secara personal tentang produk kecantikan yang baru di pasaran.

Manakala, pembeli pula akan mendapat banyak pilihan produk-produk yang terbaru di pasaran. Mungkin produk kecantikan yang sebelum ni tak sesuai dengan anda, dengan adanya iklan sebegini ia akan memudahkan anda.

Moga anda mendapat secebis pengetahuan berkaitan e-commerce dalam industri kecantikan dan manfaatnya. Zaman sudah berubah kerana kepesatan teknologi maklumat. Kita sebagai penjual dan pengguna juga perlu akur dengan perubahan ini. Walaupun ada orang yang lebih menggemari kedai fizikal berbanding e-commerce, namun perniagaan jenis ini sudah mula mengambil tempat. Ia lebih memudahkan dan menguntungkan kita.

SHARE THIS ARTICLE